KUALA LUMPUR, 28 Sept : Penjaga gol Sarawak United FC, Shaiful Wazizi Mohammad yang beraksi cemerlang pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia Ahad lepas mendedahkan dua watak penting di sebalik aksi tenangnya mengawal kubu pasukan.
Memberikan kredit kepada jurulatih penjaga gol, P Mohana Sundram , Shaiful Wazizi pada masa sama turut ‘memetik’ nama penjaga gol utama skuad Ngap Sayot, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.
” Mereka berdua iaitu coach Mohana dan Sharbinee merupakan merupakan guru dan mentor terbaik kepada saya , banyak ilmu dan tips berguna yang diberikan ketika membuat persiapan sebelum menentang Pulau Pinang FC,” katanya kepada TVS.
Dalam perlawanan itu, Shaiful Wazizi,23, menggantikan Mohd. Sharbinee Allawee yang tidak dapat beraksi ekoran menjalani hukuman pergantungan lima perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bekas penjaga gol kebangsaan itu didapati bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak bersemangat sukan selepas perlawanan membabitkan Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC pada 10 September lepas.
Shaiful Wazizi, mula menggalas tanggungjawab mengawal gawang Sarawak United FC ketika perlawanan akhir Liga Perdana menentang JDT II yang menyaksikan keputusan berakhir dengan 1-1.
Dalam perlawanan di Stadium Bandaraya menentang Pulau Pinang FC, yang juga dianggap pasukan pilihan Kumpulan A kerana menamatkan Liga Super di tangga ketiga, Sarawak United FC yang dibimbing E. Elavarasan nyata menyerap segala asakan tuan rumah dan membuktikan status pasukan Liga Premier bukan alasan untuk mencatatkan kemenangan bergaya 3-1 sekaligus menduduki tangga teratas kumpulan.
Ditanya sama ada dia berdepan tekanan beraksi pada Piala Malaysia, Shaiful Wazizi berkata, perkara itu tidak timbul malahan telah bersedia dari segi mental dan fizikal.
” Apa yang saya lakukan ialah mengikut setiap arahan dan tektikal yang ditentukan oleh jurulatih dan sentiasa fokus. Aspek ini sangat penting kerana barisan pertahanan dan penyerang dapat membentuk formasi yang baik sepanjang perlawanan,” katanya.
Menganggap peluang beraksi pada Piala Malaysia sebagai satu peluang dan tanggungjawab berat, Shaiful Wazizi berikrar akan terus memberikan persembahan terbaiknya untuk membantu pasukan.
Pada masa sama, Shaiful Wazizi juga mengakui, dia secara peribadi ingin mara sejauh mungkin dalam kempen tahun ini dan turut mengintai peluang bergelar juara.
” Sekiranya mampu mencapai impian bergelar juara, ia merupakan pencapaian yang terindah buat saya,” katanya.
Skuad enggang emas akan meneruskan aksi perlawanan kedua malam esok menentang Sri Pahang FC manakala Pulau Pinang FC akan bertemu Kuala Lumpur City FC. -TVS