KUALA LUMPUR, 28 September — Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan arahan atau berhajat uuntuk mensyaratkan warga emas berusia lebih 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata kompetensi (memandu) adalah bukan berdasarkan faktor umur dan banyak sebab yang menentukan kemalangan jalan raya.
“Kompetensi (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik. Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata dalam sesuatu nahas jalan raya 80 peratus disebabkan faktor manusia, 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus disebabkan persekitaran manakala pemanduan di bawah pengaruh alkohol berisiko 13 kali lebih tinggi terdedah kepada nahas berbanding memandu dalam keadaan biasa.
Katanya bagi pemandu yang dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak ada pesalah yang hanya dikenakan denda dan mereka wajib dikenakan penjara bagi tujuan pencegahan.
Kepada soalan asal Syed Ibrahim, Wee berkata dalam kes memandu lawan arus ia berlaku disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini adalah amat membimbangkan.
Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN) statistik nahas jalan raya yang melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus tahun ini dari Januari sehingga semasa berjumlah 807 iaitu 29 kemalangan yang menyebabkan maut, 17 (parah), 49 (cedera ringan) dan 712 (rosak).
Katanya, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit) dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Wee berkata faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu.
— BERNAMA