KUALA LUMPUR, 27 Sept: Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan objektif “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”, RMK-12 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar.
“Penghujung tempoh RMK-11 telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan impak pandemik COVID-19.
“Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita telah menumpukan usaha melindungi nyawa dan kehidupan Keluarga Malaysia.
“Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita memberi tumpuan kepada agenda menyusun semula dan mengembalikan kekuatan dan daya saing ekonomi negara,” katanya semasa membentangkan usul mengenai RMK-12 pada Isnin.
Katanya lagi, krisis COVID-19 bukan sahaja telah menyatukan semua malah ia turut membuka peluang untuk transformasi.
“Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, Kerajaan dan Pakatan Harapan telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik.
“Ini adalah hasil daripada dasar Kerajaan yang inklusif. Harapan saya, persefahaman ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh,” ujarnya.
Dengan semangat Keluarga Malaysia, Ismail Sabri memberitahu, segala perbezaan diketepikan dan semua berganding bahu demi membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan.
“Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini dan di sebelah sana, untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMK-12.
“Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia,” jelasnya.