Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sindiket menyamar pegawai kerajaan tipu RM57.3 juta

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 27 Sept : Polis Diraja Malaysia PDRM mendedahkan kerugian yang dialami orang awam akibat menjadi mangsa sindiket yang menyamar sebagai pegawai kerajaan menerusi telefon pada sembilan bulan pertama tahun ini mencecah RM57.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, nilai berkenaan direkodkan bermula Januari hingga 15 September lalu dengan sebanyak 1,421 kes dilaporkan.

Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket ini akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis, wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai mahkamah, pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

” Menerusi panggilan yang dibuat, ahli sindiket akan cuba menakutkan mangsa dengan memberitahu penglibatan mangsa dalam siasatan kes jenayah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan dakwaan berkenaan akan diarahkan untuk berkongsi maklumat perbankan seperti kata laluan, nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa.

“Mangsa kemudiannya akan diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya milik pegawai Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan diberi jaminan wang akan dikembalikan selepas beberapa hari,” katanya.

Ujar beliau, mangsa hanya menyedari ditipu selepas wang berkenaan tidak dikembalikan.

Mohd. Kamarudin mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon jika melakukan siasatan kes jenayah.

” PDRM sebagai contoh hanya akan menghubungi individu tertentu untuk membuat temu janji dan urusan seterusnya akan dibuat di pejabat ,” katanya.

Ujarnya, sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, kata laluan perbankan atau jumlah wang dalam akaun bank juga tidak akan diminta menerusi panggilan telefon. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan