PASIR PUTEH, 27 September — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sembilan nelayan Vietnam, kerana cuba menangguk gamat di perairan negara semalam.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kesemua suspek yang berumur 24 hingga 53 tahun itu, ditahan di lokasi berasingan iaitu di 54 dan 56 batu nautika dari perairan Kelantan, antara 5.00 hingga 5.35 petang.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa hampir dua jam mengejar dan memintas kedua-dua buah bot dinaiki mereka, yang cuba melarikan diri ke perairan Vietnam.
“Ketika cuba ditahan kedua-dua bot itu menghadang dengan sebatang besi sepanjang 25 meter di sisi bot, melumur minyak di atas dek bot dan melemparkan tali di dalam air, bagi menyukarkan anggota APMM menaiki bot mereka,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Nor Adli berkata dua buah bot, 10,000 liter minyak diesel dan peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruhan RM600,000 turut dirampas dan kesemua suspek ditempatkan di dalam bilik tahanan sementara setelah disahkan negatif COVID-19.
Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.
— BERNAMA