Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

RMK-12 jelas pamer hasrat kerajaan rapatkan jurang sosioekonomi Sabah, Sarawak

KUCHING, 27 Sept: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapit menyambut baik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Katanya, ia jelas menunjukkan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang sosioekonomi serta pendidikan di Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Sebagai wakil rakyat dari Sarawak, saya menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap Sabah dan Sarawak seperti yang dijelaskan dalam pembentangan RMK-12.

“Melalui RMK-12 ini, Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Dayak akan mendapat tumpuan lebih besar dan diberi akses kepada pembangunan yang seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Perdana Menteri jelas menyebut, satu daripada sembilan fokus utama dalam RMK-12 menyentuh mengenai ‘Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun’.

Antara yang disebut adalah komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan serta keselamatan.

“Meneliti RMK-12 ini, saya berpuas hati melihat ia jelas, teratur dan merangkumi semua peringkat serta golongan rakyat, tidak hanya kepada Sabah dan Sarawak tetapi seluruh Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nanta turut menyeru semua pihak supaya bersama-sama memastikan segala perancangan yang digariskan di bawah RMK-12 dapat dilaksana dan direalisasikan dengan jayanya.

“Kita tidak mahu ia hanya indah khabar dari rupa dan kelihatan cantik di atas kertas, sedangkan pelaksanaannya nanti tidak selancar dan sesempurna seperti diharapkan.

“Kita juga tidak mahu kerenah birokrasi kelak membantutkan kejayaan pelaksanaan RMK-12 ini,” ujarnya.

Hal ini juga kata Nanta, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan memperkenalkan Indeks Tadbir Urus Malaysia bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, dalam menjayakan RMK-12.

“Ia sekali gus menjadi jaminan semua strategi dan inisiatif dalam RMK-12 akan dilaksanakan secara tersusun, penuh integriti dan bertanggungjawab, selaras dengan matlamat menjadikan Kerajaan berprestasi tinggi seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, yang mahu Kerajaan terus mendokong Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan