SHAH ALAM, 27 September — Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan memberkas sembilan individu dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada 20 Sept lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ACP Ahmad Jefferi Abdullah berkata kesemua sembilan suspek itu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun itu ditahan pada hari yang sama.
Pada awalnya, Ahmad Jefferi berkata sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam, dekat sini pada 1.30 tengah hari.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya telah merampas 57 bungkusan dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 30.35 kilogram bernilai RM910,000 di dalam sebuah bilik di rumah terbabit.
“Rentetan itu, polis seterusnya menahan tujuh lelaki dan seorang perempuan di beberapa lokasi berlainan di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak, Brickfields dan Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Ahmad Jefferi berkata sindiket yang dipercayai telah beroperasi lebih tiga bulan itu juga turut memasarkan dadah di sekitar kawasan Lembah Klang.
Dalam pada itu, beliau berkata polis turut menyita wang tunai berjumlah RM32,070, sembilan kereta pelbagai jenama, dua motosikal dan barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM286,409.52.
Ahmad Jefferi berkata semakan rekod mendapati enam daripada suspek memiliki rekod jenayah dan seorang daripada mereka positif dadah.
“Kesemua suspek telah ditahan reman selama 14 hari bermula 21 Sept lepas sehingga 4 Okt depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 kali sebatan,” katanya.
— BERNAMA