KOTA KINABALU, 27 Sept : Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan “kontrak sosial” akan tetapi satu dokumen antarabangsa diiktiraf pertubuhan bangsa-bangsa bersatu bagi pembentukan Malaysia dan ia tidak seharusnya dipandang ringan.
Penganalisis politik Dr. Lee Kuok Tiung berkata hak-hak Sabah dan Sarawak terkandung dalam MA63 tidak boleh dan tidak sepatutnya dipolitikkan serta wajar dituntut kerana itu merupakan hak mereka.
“Perjanjian Malaysia 1963 MA63 merupakan satu perjanjian antarabangsa, Menerusi perjanjian antarabangsa ini baru wujudnya persekutuan Malaysia jadi tanpa MA63 tidak ada persekutuan Malaysia.
“Cuma bagi saya apa yang mengecewakan adalah kadang-kadang MA63 ini diputarbelitkan atau dipolitikkan semata mata untuk meraih sokongan ramai daripada mereka ini dan mereka sendiri pun tidak tahu apa tu ma63,” katanya ketika dihubungi TVS.
Dalam pada itu, Lee juga berkata bahawa Sabah dan Sarawak wajar diberikan sebahagian besar daripada hasil sumber alam terutamanya sumber cari gali petroleum yang dijanjikan sebelum ini.
“Apa yang kita nampak sekarang adalah sememangnya ada ahli-ahli politik dari Sabah dan Sarawak menggunakan MA63 untuk menuntut hak.
“Bagi saya hak-hak yang sepatutnya Sabah dan Sarawak wajarlah diberikan hak tersebut terutamanya kalau kita sebut pasal Sabah dan Sarawak sebagai pengeluar minyak.
“Saya rasa adil jika Sabah dan Sarawak menuntut pembahagian yang lebih besar daripada hasil sumber minyak tersebut,” katanya lagi
Terdahulu beliau juga memaklumkan keadaan politik semasa di Sabah dan Sarawak dalam keadaan stabil.
Ini boleh dilihat melalui prestasi semasa kerajaan tempatan dalam mengurus pandemik COVID-19 yang melanda kedua negeri ini serta membangunkan ekonomi negeri di Sabah dan Sarawak. – TVS