KUCHING, 27 Sept: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dikurnia Darjah Kebesaran Negeri Sarawak Bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiringi Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Tan Sri Mohd Zuki yang ditemani isteri, Puan Sri Norizam Che Mohd Nor menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar.
Istiadat berlangsung di Bilik Menghadap Utama, Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini, pagi tadi.
Datuk Amar Tan Sri Mohd Zuki yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak telah memegang jawatan KSN pada 1 Januari 2020 yang lalu.
Turut hadir menyaksikan Istiadat ini ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama isteri, Datin Amar Doreen Mayang, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Datuk Seri Dr Sim Hui Kian, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom dan Dif-dif Kenamaan yang lain.