KUCHING, 27 Sept : Komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu-isu Sarawak khususnya aspek pembangunan dan infrastruktur harus diberi penghargaaan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita , Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau turut menyambut baik pengumuman Ismail Sabri mengenai komitmen untuk menangani isu-isu yang dihadapi rakyat Sarawak semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan hari ini.
“ Antaranya mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar yang akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai mengulas pembentangan RMK-12 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut , Fatimah berkata , pengumunan Ismail tepat pada masanya kerana pembangunan di Sarawak masih tidak setara berbanding dengan Semenanjung terutamanya aspek infrastruktur asas seperti jalan kampung dan jalan penghubung desa serta sistem perparitan.
“Seterusnya , pembangunan infrastruktur untuk pendigitalan juga sangat diperlukan di luar bandar .
“Jurang antara bandar dan luar bandar semasa dlm pelaksanaan dan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PDPR) sangat ketara. Ini harus diberi tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan aspek pendigitalan,” katanya.
Tambah beliau, terdapat juga keperluan untuk membaik pulih rumah rakyat miskin Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membina unit baharu di negeri ini untuk manfaat golongan memerlukan.
“Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan,” tambah Fatimah. -TVS