KUALA LUMPUR, 27 Sept : Jika bercakap mengenai pemain boling tempatan yang masyhur di peringkat antarabangsa, nama seperti Shalin Zulkifli dan Rafiq Ismail sudah pasti memasuki senarai berikutan kejayaan mereka bergelar juara dunia dan memenangi pelbagai kejuaraan untuk negara.
Namun demikian, sebenarnya terdapat seorang lagi pemain boling negara yang berasal dari Sarawak juga pernah bergelar juara dunia kira – kira 10 tahun lepas.
Yang dimaksudkan ialah Jacqueline Sijore , yang mencipta sensasi apabila menewaskan barisan pemain boling profesional Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Singapura dalam laluannya menjuarai acara perseorangan wanita ketika berusia 19 tahun pada Kejohanan Dunia 2011 di Hong Kong.
Pencapaian itu menyaksikan Jacqueline atau Jac menjadi pemain wanita kedua negara meraih pingat emas acara itu dan seterusnya diramal akan menjadi nama besar sukan boling negara dan dunia.
Begitupun, secara tiba-tiba, pemain yang pernah memenangi lima pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) untuk Sarawak ini, mengambil keputusan drastik berhenti daripada skuad kebangsaan dan menumpukan pengajiannya di Universiti Sunway pada 2014.
Genap 10 tahun selepas kejayaan di Pusat Bowling Hong Kong , Kawloon Bay pada September 2011, TVS berkesempatan menemu bual Jac menerusi emel untuk mengetahui perkembangan terkininya.
Dedah Jac, dia sudah lima tahun menetap Amerika Syarikat kerana melanjutkan pengajian dan seterusnya bekerja di negara itu.
” Saya kini merupakan juruteknologi makmal di Nittibo America Inc iaitu sebuah syarikat bioteknologi yang berpengkalan di Iowa. Saya datang ke sini menerusi program pertukaran pelajar antara Iowa State University dengan Universiti Sunway di bawah Program Pertukaran Ijazah Amerika dan seterusnya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia pada 2019,”katanya.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya di negara berkenaan, Jac mendedahkan pada awalnya dia juga sukar untuk menyesuaikan diri kerana budaya dan cara hidup yang berbeza di sana.

“Perlahan – lahan saya membiasakan diri hidup berdikari di sini dan melupakan keselesaan di Malaysia yang mana saya tidak perlu membayar sewa, pinjaman kereta, utiliti dan tanggungjawab lain,” katanya.
Berkongsi pengalaman ketika negara berkenaan teruk dibadai pandemik COVID-19 pada tahun lalu, Jac berkata, secara keseluruhannya, Iowa tidak begitu teruk terjejas berbanding negeri – negeri lain di Negara Uncle Sam itu .
” Bagaimanapun ketika awal pandemik, penduduk di Iowa juga sama seperti di tempat lain apabila membuat pembelian panik tisu tandas dan air. Saya juga mengambil langkah berjaga – jaga apabila hanya keluar ketika hendak membeli barangan keperluan sahaja dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah,” katanya.
Ujarnya, beliau lega kini kehidupan di Iowa sudah kembali normal apabila restoran kembali dibuka selepas hampir keseluruhan penduduk divaksin. Begitupun katanya, dia tetap mengambil langkah berjaga – jaga dengan tidak mengunjungi kawasan sesak.
Ditanya sama ada dia akan kembali bergelar pemain boling, Jac berterus – terang mengatakan dia tidak melihat kemungkinan itu.
” Saya gembira bekerja di makmal malah berharap dapat mencapai tahap yang lebih baik dalam kerjaya ini. Pada hari saya menghantar surat meletakkan jawatan dari skuad kebangsaan, saya sudah bersara sepenuhnya, ” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengimbas detik kejayaannya pada 2011, Jac mengakui , hari berkenaan merupakan antara saat paling manis sepanjang bergelar atlet negara.
” Saya masih ingat ketika perlawanan separuh akhir, saya memberitahu diri sendiri tidak mengapa sekiranya tewas kepada lawan yang lebih berpengalaman. Ia merupakan penampilan sulung di Kejohanan Dunia dan mara separuh akhir merupakan pencapaian menakjubkan,” katanya.
Begitupun, kata Jac, selepas menewaskan Shayna Ng dari Singapura yang juga pilihan pertama kejohanan dengan catatan 246 -214, keyakinannya semakin bertambah ketika melangkah ke perlawanan akhir.
Hasilnya dia berjaya melakukan balingan konsisten untuk menewaskan bekas juara dunia, Son Yun-Hee dari Korea Selatan dengan keputusan 266 -217 dan seterusnya lagu Negaraku berkumandang pada hari pertama kejohanan.
Dua tahun selepas itu, Jac kembali ke gelanggang Kejohanan Dunia di Las Vegas , Amerika Syarikat untuk mempertahankan kejuaraannya namun terkandas pada pusingan kelayakan.
Begitupun, dia tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya meraih pingat gangsa acara berpasukan bersama Shalin, Esther Cheah, Siti Safiyah , Zandra Aziela dan Sin Li Jane.
Selain kejayaan peringkat senior, Jac juga pernah meraih pingat gangsa acara berpasukan pada Kejohanan Remaja Dunia 2010 di Finland. Ketika kejohanan edisi 2012 di Bangkok, Thailand, dia bersama Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamallidon, seorang lagi pemain boling kelahiran Sarawak turut memenangi pingat gangsa acara beregu.
Jac yang kali terakhir pulang ke Malaysia pada 2019 berkata, seperti perantau yang lain, dia juga sentiasa merindui pelbagai makanan lazat Malaysia yang sukar didapati di sana.

” Mee Kolok, roti canai, rendang, kari dan hidangan yang dimasak dalam buluh di Sarawak antara yang saya suka,” katanya.
Ketika diminta memberi nasihat kepada atlet muda Sarawak, Jac menitipkan kata – kata berikut ;
“Minat mendalam diperlukan untuk mencapai apa yang diingini dan kejayaan memerlukan usaha keras. Tidak mengapa jika gagal kerana kegagalan akan membuatkan seseorang itu lebih kuat,” katanya.
Terima kasih Jac dan selamat ulang tahun bergelar world champ! -TVS