KUCHING, 27 Sept : Para penulis tempatan dan ahli-ahli sejarah mahupun mereka yang memiliki minat menulis digalakkan untuk menghasilkan banyak penulisan yang boleh dibukukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penghasilan penulisan buku-buku yang berkualiti mampu mendidik golongan muda seterusnya generasi yang akan datang.
“Buku-buku ini akan menjadi rujukan buat generasi muda masa kini di samping mengelak mereka untuk terus menerus menjadi pahlawan papan kekunci ataupun ‘keyboard warriors’ laman media sosial dengan sifar pengetahuan am,” katanya dalam sebuah perkongsian laman Facebook rasminya baru-baru ini.
Beliau turut menggalakkan penulis-penulis baharu untuk mulakan penghasilan buku-buku dalam bahasa-bahasa tempatan seperti bahasa bangsa sendiri, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina.
Terdahulu beliau merasmikan sebuah buku berjudul Tales From The Countryside ditulis oleh Luke Pihee Joheng yang berasal dari Kampung Stass, Bau.
Beliau memuji usaha penulis berkenaan dalam menghasilkan sebuah buku yang menceritakan kisah-kisah sebenar penduduk kampung tersebut.
“Kisah-kisah dalam buku ini bukan sahaja mengenai aktiviti-aktiviti penduduk kampung malah juga menyentuh sedikit mengenai sejarah perang di sempadan tempatan yang tidak diketahui umum.
“Apa yang menarik, penceritaannya ditulis dalam Bahasa Inggeris dimana ia mudah difahami ramai,” ujarnya lagi.