PUTRAJAYA, 26 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan bantuan untuk mempaten hasil inovasi adik Maryam Muzamir.
Maryam yang berusia 11 tahun berjaya merangkul tiga pingat emas di pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya telah menghubungi bapa pelajar terbabit pada minggu lepas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi tersebut.
“Pihak MyIPO akan membantu untuk proses pemfailan paten bagi inovasi yang dihasilkan Maryam bagi memastikan inovasi beliau dilindungi.
“Usaha mempatenkan hasil inovasi seperti ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak. Ini juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi yang lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, KPDNHEP juga menyeru para pencipta yang telah menghasilkan ciptaan dan inovasi dalam pelbagai bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif.
Ia tidak kira sama ada karya tersebut pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya.
Dalam pada itu, KPDNHEP mengucapkan tahniah kepada Maryam dan berharap agar kejayaan itu akan memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain untuk mengembangkan kreativiti menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu.
Maryam telah menghasilkan inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang diberi nama YAM 2.0.
Inovasi itu berjaya mengenepikan 600 peserta lain dari 70 buah negara dan sekaligus menjadikan Maryam sebagai pemenang termuda di pertandingan itu.