KUALA LUMPUR, 26 Sept : Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM17.1 bilion melibatkan pelbagai program untuk membantu rakyat sehingga akhir tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu dijangka akan memanfaatkan lebih 10 juta penerima.
” Ini melibatkan inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional yang mana pengkreditan fasa tiga dan rayuan akan mula dibayar pada Selasa ini yang memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa Tiga dan rayuan akan mula dikreditkan kepada penerima bermula Selasa ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada Khamis.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, selain BPR Keluarga Malaysia, terdapat juga bantuan tunai lain termasuk Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula Oktober hingga Disember ini.
“Bagi bantuan BPR Keluarga Malaysia, secara keseluruhannya sebanyak RM9.6 bilion diperuntukkan yang memanfaatkan 8.5 juta penerima bagi tahun ini,” katanya. -TVS