KUALA TERENGGANU, 26 Sept — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan semua ujian yang tertangguh di 232 institut memandu di seluruh negara melibatkan 462,124 calon akan selesai sebelum akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli berkata bagi mencapai sasaran itu, jabatan tersebut akan menambah bilangan penguji sehingga 20 peratus, bergantung pada keperluan setiap institut memandu.
“Selain itu, kita juga akan menambah jumlah kuota harian calon yang akan diuji di setiap institut memandu. Jumlahnya berbeza mengikut kapasiti premis, oleh itu, jumlah penguji tambahan yang akan dihantar adalah mengikut keperluan di setiap institut tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Memandu Bitara dekat Padang Midin di sini hari ini
Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin.
Menurut Aedy Fadly terdapat seramai 530 pegawai penguji di seluruh negara dan institut memandu disaran untuk mengutamakan ujian calon yang telah lama tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan, berbanding calon baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di semua institut memandu secara berkala.
“Pemantauan juga dilakukan oleh unit naziran institut memandu untuk mengesan kesalahan seperti menerima calon bukan warganegara, pemasangan cermin gelap pada kenderaan dan tidak mengemas kini senarai sijil kenderaan,” katanya.
— BERNAMA