KUALA LUMPUR, 26 Sept : Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa Tiga dan rayuan akan mula dikreditkan kepada penerima bermula Selasa ini.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembayaran BPN Keluarga Malaysia itu akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada Khamis.
Ujar beliau, BPR Keluarga Malaysia akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada dan pemohon rayuan yang diluluskan melibatkan peruntukan RM2.82 bilion.
” Bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Perdana Menteri, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.
” Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beberapa bantuan lain seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak yang akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021,” katanya.
Kementerian Kewangan akan memperincikan keterangan lanjut mengenai pembayaran BPR fasa tiga. -TVS