KUALA LUMPUR, 25 Sept : Sebuah syarikat membekalkan bahan membuat kek berputih mata apabila urusan perniagaan dengan seorang wanita menyebabkan mereka kerugian hampir RM180 000 kerana bayaran palsu yang dibuat oleh pelanggan berkenaan.
Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, syarikat berkenaan telah berurusan dengan pelanggan itu menerusi aplikasi WhatsApp sejak Mei hingga Jun lepas .
” Secara keseluruhan, syarikat berkenaan menerima 10 imej transaksi pembayaran dalam talian dengan jumlah keseluruhan RM179 006.30 bagi pembelian kesemua bahan membuat kek yang dipesan,” katanya menerusi kenyataan media.
Ujarnya, syarikat berkenaan menghantar tempahan yang dibuat oleh wanita itu menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran barangan.
” Pihak syarikat menyedari transaksi pembayaran adalah palsu apabila tiada kemasukan wang ke dalam akaun selepas semakan akaun dilakukan. Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan wanita berkenaan dan dia telah dituduh di mahkamah semalam,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau memberitahu, wanita tempatan itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15 000. -TVS