KUCHING, 25 Sept : Instititut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) merancang untuk mengagihkan benih-benih durian dan kelapa secara percuma kepada semua petani di Sarawak.
Pengarah MARDI Sarawak, Mohammad Noor Adros Yahya berkata, ia selari dengan sasaran MARDI untuk membekalkan benih buah-buahan dan sayuran-sayuran terpilih secara percuma kepada petani di seluruh negara, dengan kawasan pertanian disasarkan sebanyak 200 hektar menjelang akhir tahun ini.
Projek ini juga merupakan antara inisiatif MARDI di bawah Rancangan Malaysia Ke 12.
“Pihak kami mensasarkan 2 jenis tanaman iaitu buah durian sebanyak 10 hektar dan buah kelapa juga sebanyak 10 hektar bagi peserta di Sarawak.
“Setiap peserta kita anggarkan pengagihan sekurang-kurangnya 2 hektar seorang,” katanya ketika dihubungi TVS, pada Sabtu.
Jelasnya lagi, pelaksanaan projek akan bermula pada tahun 2022.
Pihaknya kini masih di peringkat merancang jenis bahan tanaman dan penyediaan bahan tanaman yang diperlukan untuk peserta.
“Pada tahun depan kita akan mula mengambil peserta dan mengagihkan bahan tanaman. Projek ini akan dilaksanakan di setiap negeri di Malaysia,” ujarnya lagi.
Menurutnya, keluasan mahupun pembahagian bahan tanaman adalah sama rata bagi setiap negeri.
Terdahulu, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, projek ini bakal memanfaatkan petani yang mempunyai tanah yang sah sama ada pemilikan sendiri, pajakan atau sewaan.
Petani-petani juga akan diberi bimbingan daripada peringkat awal penanaman hingga projek itu berhasil engan pemantauan rapi oleh MARDI, dalam tempoh empat tahun.
Bagaimanapun projek ini terhad kepada petani yang benar-benar berminat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan MARDI.