KUCHING, Sept 24: Kebajikan dan hak golongan kurang upaya (OKU) akan terus diketengahkan demi memastikan semangat kebersamaan rakyat di negara ini dapat dijalinkan.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah, perkara itu akan dilaksanakan dengan meneliti beberapa cadangan yang disuarakan oleh peserta program OKU Empowerment : Voice To Be Heard.
Melalui program ini, peserta dapat merancang pelan pemerkasaan OKU di Sarawak yang memfokuskan kepada intervensi, pendidikan, latihan dan kemahiran, pekerjaan dan pembangunan kerjaya, sukan dan bakat, kemudahan dan aksessibiliti OKU.
“Melihat kepada cadangan yang disuarakan, saya kira ada sebahagianya telah dilaksanakan manakala ada juga satu cadangan baru yang baik.
“Oleh itu, cadangan tersebut akan diteliti sama ada dilaksanakan di bawah kementerian kami (JKM) atau kerjasama dengan kementerian lain,” katanya.
Menurutnya, setiap keperluan golongan OKU tidak dapat hanya bergantung kepada kementerianya sebaliknya memerlukan kerjasama banyak agensi.
Antara cadangan yang dikemukan oleh peserta program tersebut termasuklah menaiktaraf bangunan dan fasilit di Sarawak agar lebih mesra OKU, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada OKU, undang-undang khas OKU, dan memberi peluang kepada golongan OKU menjadi sebahagian daripada wakil di Dewan Rakyat.
Oleh itu, salah satu inisiatif untuk melaksanakan cadangan yang disuarakan adalah dengan menubuhkan Special Needs Community Centre (SNCC) yang dijangka siap 2025 yang telah diluluskan dengan peruntukan RM55 juta dibawah Rancangan Malaysia ke-12.
Kewujudan pusat ini akan memastikan segala keperluan golongan OKU akan terus diteliti dan dipenuhi.
“Disini lah segala cadangan tersebut akan dilaksanakan. Ada juga antara cdangan tersebut telah dilaksanakan mungkin bukan di bawah kementerian sebaliknya kementerian lain” ujarnya
SNCC ini akan memfokuskan kepada pengesanan awal, diagnosis, latihan vokasional, pusat jagaan harian dan pusat sepenuh masa perlindungan bagi golongan OKU.
Hal ini bagi memastikan kebajikan golongan ini akan terus diperkasa.
Selain itu, Fatimah memaklumkan jurang perbezaan antara masyarakat biasa dan OKU haruslah dirapatkan kerana mereka juga mempunyai kelebihan tersendiri.
“Kejayaan beberapa individu OKU sebelum ini membuktikan mereka mempunyai dinamika dan kelebihan tersendiri. Oleh itu, jangan ada perbezaan timbul dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena dengan Majlis Penutupan Program OKU Empowerment : Voice to be heard di Damai Resort hari ini.