KUALA LUMPUR, 24 Sept : Inisiatif kerajaan membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 diteruskan apabila Perdana Menteri melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia hari ini.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu merupakan sebahagian daripada agenda perumahan yang akan terus menjadi fokus utama kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.
Ujarnya, pendekatan yang diperkenalkan oleh KPKT melalui Rumah Ikram Keluarga Malaysia tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang disediakan kerajaan kepada rakyat yang memerlukan.
” Saya difahamkan sebanyak 1,000 unit Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan sebagai permulaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum RM 24 ringgit sebulan bagi tempoh maksimum dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan inisiatif berkenaan di KPKT di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib.
Bagi membolehkan lebih ramai golongan rakyat menerima bantuan, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa inisiatif berkenaan akan ditambah kepada 2,000 unit bagi memberi manfaat kepada 10,000 isi rumah yang memerlukan.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan penerima manfaat Rumah Ikram Keluarga Malaysia akan diberi pengecualian bayaran sehingga enam bulan dari tarikh menerima kunci yang mana kosnya berjumlah RM3 juta akan ditanggung oleh kerajaan.
” Ini bagi membolehkan ketua isi rumah dapat menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga,” katanya.
Menutup ‘berita gembira’ sempena pelancaran inisiatif berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada sehingga akhir tahun depan.
” Langkah ini akan memanfaatkan kira -kira 10,000 ketua isi rumah atau lebih 50 000 penghuni PPR dengan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta,” katanya. -TVS