KUALA LUMPUR, 24 Sept : Seorang wanita kerugian RM29,700 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud yang ‘dikenalinya’ menerusi internet.
Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa yang bekerja sebagai promoter mendapat maklumat berkaitan syarikat pemberi pinjam wang itu ketika melayari internet pada 15 September lepas.
Katanya, selepas itu, mangsa yang berusia 28 tahun itu telah dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat peminjam wang.
” Mangsa telah memberikan salinan kad pengenalan, penyata bank dan slip gaji untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 dan seterusnya diminta membuat beberapa transaksi bayaran,” katanya menerusi kenyataan media.
Menurut Mohd. Mahidisham, dalam tempoh tiga hari bermula 16 September, mangsa telah melakukan sebanyak 13 transaksi ke lapan akaun bank berbeza dan menyedari ditipu apabila tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan.
” Siasatan awal polis ke atas akaun – akaun berkenaan mendapati ia terlibat dengan pelbagai kesalahan komersial sebelum ini,” katanya.
Mohd. Mahidisham pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS