KUCHING, 23 Sept: Jaringan kemudahan komunikasi yang lancar merupakan antara keperluan utama yang sentiasa mendapat permintaan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Sehubungan daripada itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol berkata, kerajaan negeri berusaha untuk memantapkan kemudahan ini dengan melaksanakan beberapa pelan telekomunikasi.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang dikenali sebagai SALURAN pemasangan wifi yang menggunakan perkhidmatan satelit dan telah dilaksanakan di 200 lokasi di Sarawak.
“Melalui program SRBN pula, 150 kawasan di Sarawak telah di pasang perkhidmatan wireless broadband,” ujarnya ketika dihubungi.
Menurut beliau, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi perhatian dan keutamaan mengenai isu telekomunikasi yang dianggap sebagai sebahagian dari pembangunan infrastruktur yang penting selain daripada kemudahan-kemudahan awam yang lain.
Dalam pada itu, Abdullah Saidol turut menyambut baik pengumuman Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa supaya pembinaan menara telekomunikasi di seluruh negara disegerakan.
Katanya, Sarawak merupakan negeri yang luas dan memerlukan tidak kurang 7,000 menara telekomunikasi yang harus dibina di seluruh negeri.
Sarawak juga mengharap supaya KKMM mempertimbangkan peruntukan ‘spektrum’ yang lebih tinggi untuk Sarawak supaya menara-menara telekomunikasi di Sarawak dapat berfungsi degann efektif dan efisien.
Tambahnya lagi, inisiatif tersebut dapat membantu merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar sebagai komuniti yang didorong oleh data dan inovasi. -TVS