SARATOK, 23 September : Seorang lelaki terselamat dalam satu kebakaran membabitkan rumah berstruktur tidak kekal di kampung belakang Pasar Meludam, pada malam Rabu.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 9.50 malam tersebut mengakibatkan kediaman mangsa musnah.
Namun, lelaki yang berusia 30 tahun itu bernasib baik, kerana sempat keluar daripada rumahnya untuk menyelamatkan diri.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat, ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah berkenaan seorang diri sementara ibu bapanya berada di Kuching.
“Semasa kejadian, rumah tersebut telah dihuni oleh seorang mangsa lelaki dewasa berumur dalam lingkungan 30 an, tidak mengalami sebarang kecederaan. Rumah tersebut merupakan rumah orang tua beliau namun ketika kejadian, orang tua beliau berada di Kuching.”
Ujarnya, bomba dan penyelamat Saratok dengan kekuatan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 malam namun sebalik tiba di tempat kejadian, rumah terbabit sudah terbakar 90 peratus.
Manakala kejadian dipercayai bermula dari bahagian dapur cuba dipadamkan dengan bantuan penduduk kampung, katanya.
“Bomba terima panggilan kecemasan pada jam 9.54 malam, panggilan rumah kediaman beralamat di kampung darat Meludam dan bergegas ke lokasi insiden dengan kekuatan 10 orang pegawai, sampai di lokasi insiden, di dapati kebakaran melibatkan sebuah kediaman berstruktur tidak kekal telah terbakar 90 peratus.
“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur dan cuba dipadamkan oleh penduduk-penduduk kampung,” jelasnya. -TVS