KUCHNG, 23 Sept : Program vaksinasi COVID-19 yang melibatkan anak anggota tentera darat dan anak kakitangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) Zon Sarawak yang telah bermula pada jam 10 pagi tadi di Renjimen Ke-4 Kor Amor Diraja, Kem Penrissen di sini hari ini.
Program vaksinasi ini melibatkan 723 anak-anak anggota dan kakitangan awam MINDEF yang berusia 12 hingga 15 tahun.
Pegawai Pemerintah 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera Leftenan Kolonel (Dr) Tharmalingam Rajalingam berkata kanak-kanak yang tidak genap berumur dua belas tahun akan diarahkan pulang terlebih dahulu dan akan disuntik pada masa akan datang.
“Hari ini ada mereka yang lahir pada bulan Oktober, November dan Disember, mereka tidak dibenarkan untuk divaksin sebab belum genap lagi dua belas tahun.
“Kita akan mengarahkan mereka untuk pulang maksudnya kita akan memberitahu kepada ibu bapa mereka bahawa anak dia belum genap dan pasukan akan mengumpul dia punya data supaya mereka akan disuntik pada masa akan datang,” katanya di pusat vaksinasi di Kem Penrissen.
Sementara itu, bagi keseluruhan negeri Sarawak pula hari ini melibatkan 1,200 anak-anak anggota dan kakitangan awam (MINDEF).
Selebihnya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu itu adalah di Kem Oya, Sibu dan beberapa PPV statik di Kem Pakit, Sri Aman, Kem Bintulu dan Kem Sri Miri.
Manakala Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas 1 Divisyen Kolonel (Dr) Meor Adzhary Sagiruddin berkata program vaksinasi hari ini bermula serentak kecuali di Miri.
“Untuk makluman semua kita membuat secara serentak hari ini kecuali di Miri yang mana akan dilaksanakan esok melibatkan 36 anak anggota tentera darat dan awam MINDEF,” katanya ketika ditemui.
Katanya lagi bagi suntikan dos kedua nanti akan diadakan pada 14 Oktober depan juga menggunakan konsep yang sama iaitu secara pandu lalu untuk di Kuching dan Sibu dan PVV statik di Sri Aman,Bintulu dan Miri.
Vaksinasi katanya juga boleh didapati di PPV awam yang lain di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) atau yang dianjurkan oleh pihak sekolah masing-masing.
Menurutnya jika terdapat keperluan daripada JKNS, pihaknya akan segera membantu bagi memastikan semua anak-anak yang berusia 12 tahun untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 – TVS