KUALA LUMPUR, 23 Sept : Polis Daerah Bentong membuka kertas siasatan berkaitan hantaran di Instagram seorang selebriti media sosial dan usahawan yang memaparkan gambar sedang beriadah di sebuah resort di Janda Baik, Bentong, Pahang yang tular baru -baru ini.
Ketua Polisnya, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 9.55 pagi pada 21 September lepas.
” Pelakunya melibatkan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di akaun Instagram bernama VIESHANTIEKAN yang menulis ‘ tidak perlu surat di Plaza Tol Gambak masih lagi sempadan Selangor yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Zaiham memberitahu, pihaknya menafikan kenyataan individu berkenaan yang mengelirukan.
Ujarnya, kes disiasat mengkit Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
” Pada masa sama, saya ingin menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian berkenaan dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Selebriti berkenaan ketika menjawab persoalan dibangkitkan pengikut di laman sosialnya mendakwa, destinasi aktiviti riadah yang dituju masih lagi dalam zon Selangor namun syarat surat rentas masih kekal bagi yang hendak merentas negeri. -TVS