KUCHING, 23 Sept: Bertindak selaku Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH), One Medicare memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan fasiliti bagi menyokong dan memberi nilai tambah kepada perniagaan teras sesuatu bangunan termasuk bangunan penjagaan kesihatan seperti hospital.
Antaranya tanggungjawab kontraktor pengurusan fasiliti bagi bangunan hospital adalah menyediakan perkhidmatan pembersihan, perlhidmatan linen dan dobi, perkhidmatan penyelenggaraan kejuruteraan fasiliti, perkhidmatan kejuruteraan bioperubatan dan pengurusan sisa klinikal.
Ketua Pegawai Eksekutif One Medicare Sazali Tuah Neli berkata, dalam masa yang sama pengurus fasiliti hendeklah memastikan keadaan persekitaran kesihatan adalah kondusif bagi kakitangan hospital, pesakit dan juga pelawat.
Katanya, ia merupakan tunggak utama pengurusan fasiliti bukan sahaja memfokuskan kepada penyelenggaran aset dan peralatan fizikal tetapi merangkumi aspek-aspek lain.
“Di kala doktor dan petugas kesihatan bertungkus-lumus dalam misi menguruskan dan menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19, jadi pihak fasiliti hendaklah memastikan bangunan, fasiliti dan kelengkapan alatan perubatan diuruskan, diselenggara dan dijaga pada tahap yang optimum untuk memastikan kelancaran operasi bangunan penjagaan kesihatan,” ujarnya ketika ditemu bual wartawan TVS, pada Rabu.
Menjawab pertanyaan yang diutarakan oleh Connie Grace mengenai cabaran yang dihadapi kakitangan One Medicare dalam menjalankan tanggungjawab disepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Sarawak katanya, kekangan mendapatkan keperluan bahan operasi.
“Antara cabaran terbesar kami adalah seperti pergerakan kami ke daerah lain juga terbatas disebabkan PKPD dimana kami juga memerlukan specialist yang datang dari Semenanjung dan yang dari luar negara ke Sarawak.
“Selain itu, ada juga kakitangan dari pihak One Medicare juga terpaksa diarahkan kuarantin disebabkan kontak rapat kepada pesakit COVID-19,”tambah Sazali lagi.
Untuk rekod, sebanyak 23 buah hospital di Sarawak telah menerima perkhidmatan sokongan daripada One Medicare Sdn Bhd.