PORT DICKSON, 23 Sept — Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut di sini, pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.30 petang tadi dan 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan keluar menangkap ikan pada 10.30 pagi dan dipercayai terjatuh ke dalam laut pada 12.30 tengah hari semalam. Seorang nelayan di situ menjumpai sebuah bot yang tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja,” katanya ketika dihubungi
Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu dari BBP Telok Kemang dan BBP Jempol selain beberapa agensi lain antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata seramai 10 anggota bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan bot penyelamat dengan membuat pencarian di lokasi mangsa memasang jaring dan kami difahamkan mangsa memakai baju warna biru.
Jelas Mohd Hairul seramai 36 anggota dengan lapan pegawai dari BBP Port Dickson, Teluk Kemang dan Jempol turut menjalankan operasi mencari mangsa dengan dibantu beberapa nelayan di permukaan air.
Katanya pencarian diteruskan dari arah muara Sungai Lukut bersama bantuan anggota BBP dari Teluk Kemang, Port Dickson dan Jempol.
Beliau berkata operasi berkenaan bermula kira-kira 3.40 petang sebelum ditangguh pada 7 malam tadi susulan keadaan laut bergelora dan berlaku ribut namun operasi bersambung semula 6.30 pagi esok.
— BERNAMA