Oleh: SYAH HAIRIZAL
TENOM: Mayat kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas ketika sedang cuba menyeberang Sungai Padas ke rumahnya di Kg Kalandos, Pangi dijumpai pada petang Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sabah Misran Bisara yang mengesahkan penemuan tersebut berkata mayat mangsa dijumpai di Sungai Padas berhampiran daerah Beaufort.
Melvin Junaidi, 12, dipercayai lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat arus deras.
Turut dilaporkan hilang adalah seorang lelaki Joseph Sayah, 55, yang masih belum dijumpai.
“Untuk makluman mangsa kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang telah dijumpai di kawasan sungai berhampiran daerah Beaufort sekitar jam 5 petang.
“Kita telah dibantu oleh Datuk Peter Anthony(Adun Melalap) yang menaiki jet ski di kawasan itu dan membawa mangsa ke tepian sungai dan pihak Bomba telah mengambil mangsa.
“Mayat mangsa kemudiaannya telah diserahkan kepada pihak Polis Daerah Tenom.
“Proses pengecaman telah dibuat keluarga mangsa dan mengesahkan mangsa adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam kejadian di Sg Padas.” Katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam kejadian pada Rabu terdapat empat individu dilaporkan terbabit dalam kejadian bot karam berhampiran Kg Kalandos, Pangi.
Bot tersebut karam semasa mangsa sedang menyeberangi Sg Padas untuk pulang ke rumah.
Dua daripada mangsa iaitu lelaki warga emas dan wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri manakala dua mangsa di bawa arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pihak bomba bermula Rabu dan diteruskan pada Khamis.
Menurut Misran operasi mencari dan menyelamat tersebut akan diteruskan pada Jumaat bagi mengesan Joseph Sayah yang dipercayai masih hilang.
“Operasi pada hari ini ditamatkan pada jam 6 petang dan akan disambung pada jam 8 pagi esok.”katanya.