Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Aktiviti pasang khemah di pesisir Tasik Putrajaya tidak dibenarkan

PUTRAJAYA, 23 Sept– Aktiviti pemasangan khemah adalah tidak dibenarkan di sekitar kawasan pesisir tasik Putrajaya, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.

Beliau berkata tapak perkhemahan yang dibenarkan di Putrajaya pada masa ini hanya di Taman Wetland yang mempunyai kemudahan lengkap.

“Aktiviti perkhemahan tidak dibenarkan di sepanjang tasik. Penguat kuasa PPj akan pastikan tiada pemasangan khemah oleh keluarga atau kumpulan tertentu di sepanjang tasik secara teguran.

“Sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal, dari segi peruntukan kita boleh denda mana-mana individu atau kumpulan yang memasang khemah di tepian tasik atau kawasan awam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Susulan peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara bermula 10 Okt lepas yang membenarkan rentas daerah di Lembah Klang, Putrajaya ‘diserbu’ terutama pada hujung minggu untuk aktiviti riadah. Malah Putrajaya menjadi tular (viral) sebagai tempat tumpuan memasang khemah di tepian tasik.

Muhammad Azmi berkata tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memasang khemah dan meuar-uarkan aktiviti tersebut seolah-olah dibenarkan di pesisir tasik Putrajaya akan mengundang perkara yang tidak diingini seperti keselamatan, kebersihan, ketenteraman awam, kesesakan serta menjejaskan pergerakan aktiviti riadah lain seperti berjoging dan berbasikal.

“Kami mengalu-alukan orang ramai datang bersiar-siar serta menikmati keindahan tasik namun perlu diingatkan bahawa tepian tasik atau mana-mana tempat awam adalah untuk kegunaan semua orang dan bukannya diduduki sekelompok kumpulan atau keluarga tertentu kerana tindakan itu bukan sahaja menghalang pengunjung lain tetapi dikhuatiri menjejaskan kualiti air tasik,” katanya.

Menyedari aktiviti perkhemahan makin digemari masyarakat, beliau berkata PPj sedang mengenal pasti tapak-tapak perkhemahan yang sesuai di Putrajaya untuk dikhususkan sebagai tempat aktiviti perkhemahan.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan