KUALA LUMPUR, 22 Sept : Anak syarikat Taiyo Yuden Co Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, memperluas kemudahan pembuatan kapasitor seramik pelbagai lapisannya di Kuching sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya di rantau ASEAN.
Menteri kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pencapaian ini menunjukkan kejayaan strategi yang agresif dan berkesan kerajaan untuk mengalu-alukan dan memudahkan FDI yang berkualiti tinggi.
“Terkini hanya beberapa hari yang lalu, syarikat Taiyo Yuden dari Japan iaitu pengeluar kapasitor seramik akan menambah pelaburan mereka sebanyak RM680 juta di negeri Sarawak,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga memaklumkan ini adalah satu lagi kejayaan Malaysia sebagai hab pilihan untuk pengeluar global dan pintu masuk ASEAN.
“Keputusan Taiyo Yuden untuk menyuntik pelaburan modal sebanyak RM680 juta bagi kemudahan baharu mereka mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap kesediaan ekosistem kita untuk menyokong pengeluaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
MIDA bekerjasama erat dengan Taiyo Yuden untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek pengembangan syarikat itu yang akan menjana 2,000 peluang pekerjaan tambahan.
Dalam masa yang sama, Mohamed Azmin berkata meskipun berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 yang mencabar, Malaysia masih kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan ke dalam negara.
Bagi tempoh Januari hingga Jun, sejumlah RM107.5 Bilion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama direkodkan, melibatkan 2,110 projek yang dijangka dapat menjanakan 44,994 peluang pekerjaan.
Pelaburan langsung asing yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 melonjak dengan ketara sebanyak 214.9 peratus kepada RM62.5 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu (RM19.8 Bilion). – TVS