KUALA LUMPUR, 22 Sept — Negeri Sembilan FC akhirnya menamatkan kemarau panjang tanpa trofi apabila mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2021 selepas menewaskan PDRM FC 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Ia merupakan kejuaraan pertama diraih skuad Hobin Jang Hobin selepas memenangi Piala Malaysia musim 2011 diikuti Piala Sumbangsih pada 2012, selain ia juga merupakan trofi kejuaraan liga kedua pasukan selepas mengungguli saingan sulung Liga Super pada 2006.
‘Pesta’ kejayaan Negeri Sembilan FC bermula pada minit ke-26 apabila pemain tengah R Barathkumar meledak gol pembukaan sebelum jaringan sendiri pertahanan PDRM FC Muhd Eskandar Ismail pada minit ke-39 meletakkan skuad bimbingan K Devan selesa mendahului 2-0 di separuh masa pertama.
Keghairahan tuan rumah terus terserlah pada separuh masa kedua dengan giliran penyerang import dari Cameroon, Alain Akono menyumbat gol ketiga pasukan pada minit ke-61 untuk jaringan kesembilan peribadinya musim ini.
Namun, dua gol pasukan pelawat dalam tempoh lapan minit menerusi G Durrkeswaran pada minit ke-64 dan Azrie Reza Zamri (minit ke-72) mengundang debaran sebelum Negeri Sembilan FC bangkit memperoleh gol keempat menerusi tandukan pemain gantian Mohammad Fahmi Faizal pada minit ke-76.