Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
<p>KUALA LUMPUR, 10 Nov -- Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadiri sebuah sidang media mengenai ASEAN SUMMIT yang ke-37 di sebuah hotel hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA</p>

Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan walaupun berdepan situasi pendemik mencabar

KUALA LUMPUR, 22 Sept  — Malaysia kekal kompetitif dalam menarik pelaburan ke negara ini walaupun berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang mencabar, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan dan ekosistem yang kondusif serta inisiatif strategik berkaitan pelaburan diyakini akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini.

Dalam menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, katanya kementerian bertekad untuk terus mengadakan libat urus dengan kedutaan asing, dewan perniagaan asing dan lain-lain untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pelabur asing.

Bagaimanapun, katanya kerajaan mengambil maklum mengenai landskap penyusutan pelaburan langsung asing (FDI) yang akan kekal mencabar dan kompetitif seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

“Kerajaan tidak meremehkan laporan ini malah telah mengambil tindakan yang agresif dan berterusan, bukan sekadar untuk mengawal penyusutan tetapi berusaha untuk mencerdaskan pelaburan asing negara.

“Usaha ini juga untuk mencapai tahap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus mengambil tiga pendekatan utama dalam mencerdaskan ekonomi negara seperti menjadikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

“Sehingga 21 Sept lepas, sebanyak 93.2 peratus populasi dewasa telah menerima satu dos dan 80.2 peratus telah menerima dos kedua, seterusnya mencapai sasaran imunisasi kelompok yang ditetapkan.

“Perkembangan ini merupakan landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik,” katanya. 

Menurut Azmin, kerajaan juga akan terus memperkukuh asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus dan mesra perniagaan.

“Ini termasuklah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Azmin berkata Malaysia juga akan terus menyasarkan pelaburan yang berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju, berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mengenai penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui supaya seiring dengan negara-negara ASEAN dan kenderaan elektrik (EV), Azmin berkata berdasarkan trend penggunaan EV, ia menunjukkan peningkatan di peringkat global dan ASEAN.

Bagi menyokong ekosistem EV di negara ini, Azmin berkata MITI sedang mengenal pasti strategi baharu untuk mempromosikan industri EV kepada pelabur termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam dialog Bajet 2022 baru-baru ini. 

Ini termasuk strategi mengenai satu dasar yang merangkumi pakej insentif yang memberi fokus kepada pengguna bagi menarik pelaburan ekosistem EV selain mengukuhkan insentif sedia ada untuk pengeluar kenderaan dan komponen EV.

“Langkah ini dijangka dapat menggalakkan pelaburan dari segi pengeluaran EV atau komponennya, sokongan infrastruktur termasuk stesen pengecas EV dan meningkatkan permintaan pengguna terhadap penggunaan kenderaan EV,” katanya. 

EV diramalkan akan menggantikan kenderaan berasaskan penggunaan tenaga fosil selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) bagi memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan