KUCHING, 22 Sept: Lima atlet sukan ‘Powerlifting’ kelahiran Sarawak bersedia menggegarkan Kejohanan Para Powerlifting Dunia di Georgia, November depan.
Menurut Pengurus Pasukan Powerlifting Sarawak, Rusmalina Mat Darus kesemua atlet yang dipilih menunjukkan iltizam dan semangat yang tinggi untuk menyertai kejohanan berkenaan.
“Untuk ke Georgia, seramai enam atlet yang telah terpilih. Lima daripadanya adalah atlet dari Sarawak termasuk Bonnie Bunyau Gustin, Bryan Junancey Gustin, Jong Yee Khie, Nicoldemus Manggoi Moses, dan Sona Agon.
“Sona merupakan satu-satunya atlet perempuan yang akan terbang ke Georgia dengan sasaran angkatan seberat 100 kilogram.
“Beliau sebelum ini pernah mengangkat beban seberat 90 kilogram untuk kategori wanita dan sekarang kita sasarkan dia berjaya mengangkat 100 kilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu ketika ditanya mengenai saingan utama Bonnie, selepas cemerlang memenangi emas dan memecah rekod menerusi acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Rusmalina berkata beliau mahu atlet-atlet ‘Powerlifting’ yang terpilih supaya mengekalkan momentum mereka.
“Walaupun Bonnie berjaya menentang atlet Iran dan juga China tetapi kita nak atlet-atlet kita berwaspada untuk mengekalkan kejuaraan mereka.
“Seperti Bonnie dan juga Jong kita memang sasarkan mereka supaya mengekalkan momentum mereka berdepan atlet di Georgia nanti.. dan kita harap Jong juga berjaya merangkul emas buat Malaysia,” ujarnya.
Untuk rekod, Bonnie turut memenangi beberapa pingat emas di pelbagai temasya sukan antaranya Nur-Sultan, Kazakstan World Para Powerlifting Championship 2019, Tokyo Paralimpik 2020, World Para powerlifting World Cup Bangkok 2021 dan Dubai 2021.