BINTULU, 22 Sept : Seorang warga emas hanya mampu melihat kereta miliknya musnah terbakar di parkir rumahnya.
Dalam kejadian jam 11.14 malam Selasa itu, kenderaan tersebut dikatakan tiba-tiba terbakar di Lorong 3, Jalan Tun Hussein Onn, Kemena Jaya.
Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Jelasnya, pihak Bomba dan Penyelamat Bintulu menerima panggilan dan terus bergegas ke lokasi dan operasi pemadaman bermula pada jam 11.23 malam.
Menurutnya, pemilik kenderaan yang dikenali sebagai Sa’li Saali, 64, sempat menggunakan sumber air terdekat untuk memadam kebakaran namun tidak berjaya menyelamatkan keretanya daripada terbakar teruk.
Pasukan Bomba membuat pemantauan terperinci dan memastikan keadaan selamat sebelum menamatkan operasi.
Punca kejadian juga masih dalam siasatan.