Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Gaji minimum semasa boleh disemak semula secara berperingkat – Wahid Omar

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (US$283) boleh disemak semula dan dinaikkan kerana kerajaan berkemampuan untuk menampung kenaikan itu, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid yang kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata ini dapat dilakukan secara berperingkat dalam jangka waktu tertentu untuk memberi masa yang cukup kepada perniagaan merancang dengan sewajarnya.

Ini juga boleh menggalakkan mereka mempertingkatkan automasi serta memperbaik proses mereka dan seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk pekerja tempatan, kata beliau.

“Penting bagi semua majikan untuk memastikan pekerja mereka diberi imbuhan yang cukup dan disediakan kemudahan yang baik selain persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

“Saya rasa sebenarnya ada ruang untuk kenaikan gaji dari masa ke masa, tetapi apa yang penting bagi kerajaan adalah menetapkan sasaran jangka panjang atau jangka pertengahan,” katanya pada sidang media secara maya di luar majlis Sidang Kemuncak APAC 2021 di sini hari ini.

Gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Feb, 2020, dengan kenaikan RM100.

Dalam pada itu, Abdul Wahid mengharapkan agar perniagaan mengambil inisiatif untuk menawarkan imbuhan yang setimpal untuk pekerja mereka dan bukannya menunggu kerajaan mengumumkan dasar baharu mengenai gaji minimum.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan