KUCHING, 21 Sept: Sarawak akan memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun pada Khamis (23 September) ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia adalah selaras dengan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Isnin.
“Beliau (Khairy) berkata remaja berusia 12 hingga 17 tahun boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih seluruh negara.
“Khairy turut berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan senarai PPV terpilih itu,” katanya.
Justeru, Uggah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menasihatkan ibu bapa untuk mengambil peluang yang tersedia bagi menjamin kesihatan serta keselamatan anak-anak.
“Di Sarawak, Jabatan Kesihatan Bahagian akan menentukan PPV yang akan digunakan.
“Ibu bapa atau penjaga perlu menemani anak-anak yang akan mengambil vaksin untuk menandatangani borang kebenaran vaksin,” katanya.
Terdahulu, Khairy berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September, dengan menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, Sarawak telah menerima 10,000 dos bekalan vaksin tunggal CanSino.
Ia akan dihantar ke Cawangan Farmasi Logistik Negeri (CFLN) Sarawak, Hospital Sarikei, Hospital Sibu, Pusat Farmasi Bahagian (PFB) Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Kapit serta Klinik Kesihatan (KK) Layar, Kapit dan Song pada Selasa dan Rabu.
Selain itu, pada 24 September kelak, ia akan turut dihantar ke Hospital Bintulu, KK Bintulu, KK Belaga, KK SUNGAI Asap, dan PFB Miri.