KUCHING, 21 Sept: Pengerusi Majlis Pemimpin Adat Orang Ulu Sarawak, Elizabeth Deng mendahului senarai 100 penerima pada hari pertama Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak.
Elizabeth dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Johan Bintang Sarawak (JBS) oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Besar, Astana Negeri, Petra Jaya hari ini.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Miri, Julaihi Mohamad pula telah menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (JBK).
Dua penerima bagi Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (PPC) ialah Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Amelati Parnell dan mantan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Bahagian Kesihatan), Dr. Kamarudin Lajim.
Istiadat kemudian diteruskan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (PBS) kepada empat orang penerima iaitu Michael Tiang Ming Tee, Wong Ei Sing, Watson Awan Jalai serta Singer Nguan.
Seramai 16 penerima telah dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) termasuk isteri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Profesor Dato Sri Dr Sim Kui Hian iaitu Datin Sri Enn Ong Siok Ean serta isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu merangkap Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala iaitu Datin Esther Mujan Balan.
Pingat Perkhidmatan Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (PPB) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (PPT) masing-masing menyaksikan seramai 33 dan 44 orang penerima, sekaligus menjadikan jumlah penerima terbesar pada sesi istiadat kali ini.
Hadir sama semasa majlis ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Profesor Dato Sri Dr Sim Kui Hian, ADUN Mulu merangkap Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan lain.