BETONG, 19 Sept: Hari yang sepatutnya menjadi peringatan bersejarah bagi setiap warganegara Malaysia, 16 September, menjadi memori hitam buat ahli keluarga mangsa serangan pesakit mental di Betong.
Lelaki berusia 57 tahun terbunuh akibat ditetak oleh seorang pesakit mental di kawasan sebuah rumah panjang, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintenden (DSP) Zamry Alli berkata suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun tiba-tiba mengamuk dengan bersenjatakan sebilah parang panjang dan hendak menyerang mangsa.
“Melihat keadaan itu, mangsa bertindak membawa keluarganya keluar dari rumah panjang terbabit untuk menyelamatkan diri.
“Namun, kenderaan yang mereka naiki tiba-tiba rosak dan suspek terus menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Ahli keluarga mangsa dengan pantas menyelamatkan diri pada ketika itu dan hanya mampu menyorok di sebalik semak berdekatan.
Pihak polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu terus bergerak ke rumah panjang terbabit dan mendapati suspek masih berada di sana.
“Menyedari kehadiran polis, suspek tampil dan terus menyerang menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arahnya.
“Suspek meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan yang terkena pada badannya,” dedah Zamry.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan pesakit mental yang pernah menerima rawatan di Hospital Betong sebelum ini dan hendak dirujuk ke Hospital Sri Aman.
“Namun belum sempat dia dibawa ke Hospital Sri Aman, kejadian ini telah berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, suspek juga pernah bertindak sedemikian sehingga menyebabkan seorang warga emas cedera parah dan sehingga kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Betong.
Mayat mangsa dan suspek telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Betong untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.
Zamry memohon kepada orang awam atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan. -TVS