KUALA LUMPUR, 19 Sept : Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga suntikan vaksin COVID-19 sebagai usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan suntikan penggalak berkenaan akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun , warga emas dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.
” Suntikan akan diberikan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus. Langkah ini diharap dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan sedang melihat kemungkinan untuk memberikan dos penggalak dalam usaha menangani peningkatan mendadak kes malah langkah serupa menurutnya telah dilaksanakan oleh beberapa negara yang telah mencapai tahap vaksinasi tinggi di kalangan rakyatnya termasuk Singapura.
Mengulas lanjut, bagi melaksanakan insiatif berkenaan, Ismail Sabri berkata, panel pakar perubatan kesihatan kini sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.
” Kesemua perincian berhubung pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya. -TVS