SIBU, 19 Sept: Seorang bapa berhadapan detik cemas apabila menyedari anak lelakinya terkunci dalam sebuah kereta.
Kejadian tersebut berlaku di hadapan sebuah kedai di Sibujaya pada Sabtu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Janggan Muling berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Jaya bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.52 petang.
“Didapati ada seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan terperangkap dalam sebuah kereta yang terkunci dari dalam,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Cubaan anggota operasi menggunakan pembaris besi dan batang besi untuk membuka pintu kereta tersebut tidak berhasil.
Pemilik kereta meminta anggota penyelamat untuk memecahkan cermin kereta dengan menggunakan batang besi untuk membuka pintu.
“Anak mangsa berjaya dikeluarkan selepas pintu berjaya dibuka.
“Selepas memastikan keadaan selamat, anggota berangkat balik ke balai,” ujarnya. -TVS