Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Skuad badminton negara mampu pamer prestasi baik – Ahmad Faizal

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis skuad badminton negara mampu menampilkan aksi mengagumkan pada tiga kejohanan tertinggi – Piala Sudirman, Thomas dan Uber – yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Ahmad Faizal berkata berdasarkan disiplin dan prestasi pemain yang berada di tahap baik, selain ketiadaan kecederaan membimbangkan, beliau percaya skuad kebangsaan mampu memberikan tentangan pada ketiga-tiga kejohanan berpasukan tersebut.

“Saya tidak mengharapkan janji bulan dan bintang daripada pasukan, tetapi mahu melihat mereka membawa nama negara sebagai duta-duta kecil kita dengan menjaga disiplin, nama dan adab di dalam dan luar gelanggang supaya negara dihormati di seluruh dunia.

“Saya harapkan mereka bermain dan faham seluruh rakyat Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga rakyat biasa bersama-sama mereka ketika berjuang. Waktu mereka melompat, kita pun melompat, waktu mereka jatuh bangun, kita sama-sama jatuh bangun.

“Saya tak nak beri tekanan tapi harap satu persembahan baik diberikan dalam ketiga-tiga kejohanan ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bersama Timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Terdahulu, beliau memberikan kata-kata semangat kepada skuad negara, selain menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kapten pasukan Piala Sudirman dan Thomas, Lee Zii Jia. Pemain perseorangan itu kemudian mengetuai bacaan ikrar pasukan.

Piala Sudirman dijadual berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 Sept hingga 3 Okt, manakala pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Okt.

Pada edisi terakhir Piala Sudirman di Nanning, China pada 2019 dan Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, skuad negara terkandas di peringkat suku akhir, manakala gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Uber 2018.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang kagum dengan fasiliti ABM dan usaha yang dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mengasah bakat muda, bercadang untuk mengutarakan idea itu kepada persatuan-persatuan sukan yang lain bagi menggunakan model sama.

Beliau berkata konsep ‘kekeluargaan badminton’ yang diamalkan BAM dengan menempatkan lebih 60 pemain muda berusia antara 13 dan 18 tahun untuk belajar dan mengasah bakat badminton di bawah satu bumbung merupakan sesuatu yang boleh dicontohi.

“Pemain-pemain ini dipupuk dari awal dari segi pembelajaran, disiplin dan sebagainya. Semuanya berada dalam ini, termasuk homeschooling. Apabila bercakap mengenai akademi, ini adalah akademi yang sempurna,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merakamkan penghargaan kepada Ahmad Faizal dan Ti kerana meluangkan masa melawat ABM, walaupun baru memulakan tugas pada akhir bulan lepas, serta berharap kerjasama itu dapatkan diteruskan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan