Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ketua Jurulatih, tiga pemain dan dua pegawai Sarawak United digantung FAM

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 18 Sept : Ketua Jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan digantung selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM10,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, sehubungan itu jurulatih berkenaan juga tidak dibenarkan terlibat dengan aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti berkaitan yang berkuatkuasa semalam sehingga 16 September 2022.

Bagaimanapun katanya, keputusan berkenaan boleh dirayu kerana jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan tersebut ditangguh terlebih dahulu dan tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan.

” Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman berkenaan akan dikuat kuasakan serta-merta selain turut diberi amaran keras dan boleh dikenakan hukuman yang lebih berat sekiranya mengulangi kesalahan serupa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Keputusan berkenaan diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Kali Keempat secara dalam talian berlangsung semalam.

Sebelum ini aksi ke-19 Liga Perdana membabitkan pertemuan top of the table clash antara Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 10 September lepas berakhir dengan aksi panas apabila beberapa pegawai dan pemain Sarawak United FC ‘menyerang’ pengadil selepas tamat perlawanan.

Perlawanan itu menyaksikan Negeri Sembilan FC mencatatkan kemenangan 1-0 sekaligus merampas kedudukan sebagai pendahulu liga.

Elavarasan dalam reaksinya ketika sidang media menegaskan dia tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan yang ditunjukkan oleh pengadil yang mengendalikan perlawanan berkenaan.

Sementara itu, turut dihukum ialah penjaga gol utama Sarawak United FC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli apabila digantung lima perlawanan serta didenda RM5,000.

Menurut Baljit Singh, penggantungan berkenaan akan menyaksikan Mohd. Sharbinee terlepas aksi terakhir menentang JDT II pada 21 September ini dan empat lagi lain perlawanan akan berkuatkuasa serta – merta iaitu membabitkan Piala Malaysia.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu didapati bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Ramli serta melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada pengadil perlawanan setelah dilayangkan kad merah .

Dia juga didapati bersalah setelah menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh pegawai keempat untuk membuat penggantian pemain semasa keluar padang.

” Seorang lagi pemain, Mohd. Amer Saidin pula digantung dua perlawanan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah meluru ke arah pengadil perlawanan, penolong pengadil 1 dan penolong pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada pengadil selepas tamat permainan,” katanya.

Mesyuarat sama juga turut menjatuhkan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM4,000 terhadap seorang lagi pemain Ngap Sayot iaitu Mohd. Badrul Affendy Mohd. Fadzli.

” Pemain ini didapati bersalah apabila berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap penolong pengadil 1 apabila meluru ke arah pegawai perlawanan berkenaan dan secara agresif telah menolak dengan kuat di bahagian dadanya. Mohd. Badrul Affendy juga melakukan tindakan sama terhadap penolong pengadil 2 bagi pertuduhan kedua,” katanya.

Sementara itu, pegawai Sarawak United FC, Abang Fomay Abang Sa’adeli didenda sebanyak RM10,000 dan digantung dua perlawanan selepas didapati bersalah menyerang pengadil perlawanan manakala Rudy Bujang digantung enam bulan daripada aktiviti bola sepak dan turut didenda RM10,000.

Kesemua pegawai dan pemain pasukan itu yang dijatuhi hukuman berkenaan boleh membuat rayuan kecuali bagi kes Mohd Amer Saidin.

Dalam pada itu seorang pegawai Sarawak United FC ketika dihubungi TVS berkata, mereka menerima keputusan berkenaan namun akan membincangkannya dalam mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada Isnin depan.

” Kenyataan media akan menyusul selepas itu. Walaupun kelab berdepan situasi ini, ia tidak menjejaskan persiapan kami menjelang perlawanan terakhir liga dan Piala Malaysia,” katanya. -TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan