KUALA LUMPUR, 18 Sept : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat bahawa inisiatif COVAX yang dicetuskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gagal untuk memastikan pengagihan bekalan vaksin yang adil di seluruh dunia.
Dalam soal ini ujarnya, syarikat -syarikat farmaseutikal gergasi mengutamakan penghantaran suntikan pelalian berkenaan ke negara – negara kaya sekaligus menyaksikan blok berkenaan secara berterusan membolot bekalan vaksin.
” Malaysia juga terpaksa berjuang melawan ketidakadilan ini dalam usaha untuk menjadi sebagai negara yang ke-35 paling banyak memvaksin rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 antara negara kaya dan miskin yang dibangkitkan oleh Penasihat Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia (IFC), Philip Schellekens di Twitter hari ini.
Pada masa sama, Khairy Jamaluddin juga mempersoalkan nasib yang dialami oleh negara – negara miskin yang sehingga kini sedang bergelut untuk memvaksin rakyat masing – masing ketika ancaman pandemik COVID-19 berterusan.
Sementara itu hari ini tular di media sosial mengenai lawatan mengejut Ahli Parlimen Rembau itu ke Hospital Kajang dengan hanya ditemani oleh seorang pegawai khasnya.
Menerusi gambar -gambar yang dikongsikan, Khairy Jamaluddin kelihatan melawat beberapa jabatan di hospital berkenaan selain bertanya khabar pegawai perubatan dan staf kejururawatan yang bertugas pada hujung minggu. -TVS