MIRI, 17 Sept: Gara-gara menumbuk remaja akibat terganggu akan bunyi bising dari motosikal, seorang lelaki ditahan pihak polis sekitar jam 9:20 malam tadi.
Kejadian tersebut berlaku berdekatan sebuah hotel bajet di Jalan Nakhoda Gampar, Miri, tengah malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari yang mengesahkan kejadian itu berkata tangkapan suspek berusia 26 tahun itu dibuat selepas menerima laporan daripada mangsa mengenai insiden terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan bunyi bising motosikal milik rakan mangsa,” kata Hakemal.
Terdahulu, mangsa yang berusia 19 tahun itu bersama rakannya dikatakan berhenti rehat di tepi jalan berikutan keadaan hujan lebat ketika itu.
Kemudian mangsa didatangi suspek dan suspek bertindak menumbuknya.
Sehubungan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan di bawah Seksyed 506 Kanun Keseksaan. -TVS