KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) — Kerajaan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperhalusi perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikannya, dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak, serta lapan Menteri Persekutuan.
“Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021, di sini malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Ismail Sabri berkata seluruh rakyat Malaysia seharusnya bersyukur apabila setiap cabaran berjaya ditangani dan dihadapi sebagai sebuah negara dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata Malaysia yang terbentuk pada 16 Sept 1963 melalui Perjanjian Malaysia (MA63), masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Payung Perpaduan Negara.
Menurutnya nama-nama seperti Datu Mat Salleh, Tun Mohd Fuad Stephens dan Tun Datu Mustapha Datu Harun merupakan tokoh pejuang gemilang dalam sejarah Sabah, manakala Datu Patinggi Abang Ali, Temenggong Jugah dan Rentap adalah antara tokoh kemerdekaan Sarawak.
Justeru, beliau berkata semangat tokoh-tokoh pejuang ini tidak seharusnya terhenti dalam perang melawan musuh yang tidak nampak iaitu pandemik COVID-19.
“Semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik,” katanya.
Beliau berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik, selain turut memberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.
Mengambil semangat sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri menyeru semua pihak menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini dan bertoleransi dalam semua perkara, hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara tercinta.
“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan sebuah negara bangsa yang berjaya.