KUCHING: Lima atlet paralimpik dan seorang jurulatih negara kelahiran Sarawak pulang ke pangkuan keluarga setelah hampir dua tahun menjalani latihan dan berjuang di pentas antarabangsa.
Mereka ialah Bonnie Bunyau Gustin, 22, Jong Yee Khie, 33 (angkat berat), Muhammad Nur Syaiful Zulkifli, 26, Jamery Siga, 36, (renang) dan Wiro Julin, 17 (memanah).
Bapa kepada atlet emas paralimpik Bonnie Bunyau Gustin, Gustin Jenang meluahkan rasa bangga atas kejayaan yang diraih oleh anaknya dipentas tertinggi.
Gustin Jenang yang juga bekas atlet paralimpik negara ketika dahulu tidak menyangka anaknya mampu meraih kejayaan sejauh ini dengan pengorbanan yang diberikan selama ini.
“Sudah lama tidak berjumpa dengan Bonnie, saya rasa syukur sangat-sangat atas pencapaian anak saya, dan saya syukur juga sebab dia selamat sampai dan sentiasa sihat.”katanya ketika ditemui pada Majlis Ringkas Menyambut Ketibaan Atlet Paralimpik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak disini, pada Khamis.
Ketibaan mereka disambut meriah oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Fatimah Abdullah yang juga menteri bertanggunjawab terhadap atlet para Sarawak menzahirkan penghargaan tertinggi buat wira negara.
Katanya, melihat kepada keupayaan itu, beliau yakin atlet orang kurang upaya (OKU) Sarawak mampu melakukan pencapaiaan terbaik pada sukan-sukan besar pada masa akan datang.
Justeru beliau menyasarkan kejayaan buat atlet para sukma Sarawak untuk menjuarai temasya para SUKMA Johor 2022 dengan sasaran 68 pingat emas.
“Pencapaian dan kegemilangan ini harus diteruskan dan semua pasukan para Sukma Sarawak harus bersedia dengan cekap, lengkap dan mantap untuk merealisasikan impian tersebut.” ujar Fatimah.
Untuk rekod Paralimpik Tokyo 2020 merupakan kali ketujuh (Ke-7) di mana Sarawak mempunyai atlet yang mewakili Malaysia.