Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Nama berita nuan, manah cikgu

Banyak yang telah diperkatakan tentang semangat muhibah di kalangan rakyat Sarawak. Kepelbagaian kaum yang wujud di negeri berkenaan diterjemahkan dalam aspek kehidupan harian mereka dan seterusnya membentuk ikatan kukuh yang sukar dileraikan.

Perbezaan tidak membentang ruang sesama mereka. Namun demikian, sejauh manakah kebenarannya atau apakah hanya sekadar cerita indah yang ditularkan di media sosial?

Sebagai seorang yang belum pernah naik belon ke Sarawak, tidak adil bagi penulis untuk terus bermain dengan perkataan bagi menggambarkan situasi masyarakat di sana.

Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-58 pada pada hari ini, penulis telah ‘bercakap’ dengan beberapa kenalan yang berpengalaman bertugas sebagai guru di Sarawak.

Memulakan karier pendidikan di Bumi Kenyalang, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib ,40, mengakui pengalaman di sana telah membantu membentuk dirinya menjadi seorang guru yang memahami bidang pendidikan dalam konteks lebih meluas.

Ujarnya, segala pengalaman yang dikutip sewaktu mengajar di Sarawak telah memainkan peranan yang besar dalam kariernya sehingga pernah disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia anjuran Varkey Foundation.

Beliau yang juga penerima anugerah Guru Adiwira Kebangsaan 2019 berkata, sikap toleransi yang tinggi terhadap bangsa dan agama berbeza yang dipamerkan masyarakat di sana amat menarik perhatian.

“Saya mengajar subjek Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No. 1 Sibu. Seperti sekolah lain , pelajarnya juga terdiri daripada pelbagai bangsa dengan majoritinya Iban, namun tidak menghalang kami untuk meraikan pelbagai perayaan dengan meriah,” katanya kepada TVS.

Cikgu Hailmi berkongsi gambar kenangan ketika melawat keluarga pelajarnya di Sibu.

Bercerita lanjut, Norhailmi berkata, antara ‘pencapaian’ yang paling diingati di sekolah itu ialah apabila ditugaskan mengajar kelas sama bagi satu kumpulan pelajar sejak mereka berada di tingkatan satu sehingga memasuki tingkatan tiga.

“Pada hari keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, mereka mencatatkan sejarah tersendiri untuk sekolah berkenaan apabila menjadi kelas yang paling ramai calon pernah mencatat A dalam subjek Sains. Ia merupakan kenangan manis kepada saya,” katanya.

Melunaskan tanggungjawab selama lapan tahun di Sarawak sehingga 2014, Norhailmi berkata, antara pengalaman menarik lain ialah dia pernah menerima hadiah baju burung, baju tradisional Iban dan parang Iban oleh keluarga pelajarnya.

“Saya turut merindui makanan istimewa di sana iaitu umai dan ayam pasuh,” katanya.

Kini, setelah hampir tujuh tahun terbang pulang ke Semenanjung Malaysia, Norhailmi mendedahkan, hubungan dengan bekas pelajarnya tetap terjalin erat.

“Ada bekas pelajar saya yang kini sudah bergelar guru malahan ada juga yang telah menjadi jurutera yang berjaya. Saya sangat berbangga dengan mereka dan kenangan di sana akan sentiasa tersemat dan membuatkan saya lebih menghargai keistimewaan serta kepelbagaian yang wujud di negara kita,” katanya yang kini bertugas di SMK Jerlun, Kedah.

Seorang yang lagi rakan yang dihubungi, Mohd. Azhari Adnan, 30 atau Cikgu Arie berkata, beliau menikmati saat yang mengujakan setelah dihantar bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Budu, Saratok.

Terletak kira – kira 200 kilometer (km) dari Kuching, Cikgu Arie memberitahu, kawasan berkenaan tidaklah dikategorikan sebagai zon pedalaman sebaliknya lebih sesuai dirujuk sebagai sekolah di luar bandar.

Bercerita tentang pengalamannya di sekolah berkenaan, Cikgu Ayie berkata, hampir keseluruhan muridnya terdiri daripada kaum Iban. Pada mulanya, beliau turut berdepan masalah komunikasi namun selepas beberapa bulan, Cikgu Arie dapat membiasakan diri.

“Saya sangat kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh ibu – bapa murid-murid di sekolah berkenaan.Mereka berkorban dan ringan tulang membantu pihak sekolah demi kemajuan pendidikan anak -anak,” katanya.

Jelas Cikgu Ayie, sekiranya terdapat aktiviti membabitkan pihak sekolah dengan waris seperti Mesyuarat Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hampir kesemua waris akan akan hadir.

Ketika aktiviti gotong royong pula, Ayie memberitahu, para ibu bapa akan tampil menghulurkan bantuan untuk menceriakan sekolah anak mereka.

“Untuk sampai ke sekolah ini yang terletak di tepi sungai, kita perlu meniti titi gantung. Pada hari gotong -royong, lori akan tiba di seberang sungai untuk menghantar bekalan seperti batu bata dan kami terpaksa mengangkut sedikit demi sedikit,” katanya.

Kekaguman Ayie terhadap sikap ringan tulang masyarakat di sana ialah apabila dia melihat ibu dan ayah yang berusia dalam lingkungan 50 hingga 50 tahun mengerah keringat mengangkut batu menggunakan bakul rotan untuk dibawa ke kawasan perkarangan sekolah.

“Saya yang masih muda sudah berasa penat selepas angkut batu satu pusingan tetapi mereka melakukannya berkali -kali tanpa mengeluh kerana mahu anak mereka menikmati suasana kondusif ketika belajar,” katanya.

Mengimbas kenangan manis, Cikgu Ayie yang mengajar subjek Matematik dan Pendidikan Jasmani berkongsi cerita tentang seorang muridnya, Mac Lister John Anak Bauk yang terpilih mewakili Sarawak dalam acara bola sepak di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah -Sekolah Malaysia (MSS) di Kuantan, Pahang.

“Saya menghadiahkan Mac Lister sepasang kasut bola untuk memberi semangat kepadanya kerana dia seorang murid yang sangat berbakat dan menghormati guru, begitu juga dengan anak -anak murid saya yang lain di sana,” katanya yang kini kembali mengajar di negeri kelahirannya, Kedah.

Seorang lagi rakan penulis, Abdul Fattah Yusoff yang mengajar di Sarawak selama enam tahun bermula 2005 berkata, dia mengharungi pengalaman berbeza di Bumi Kenyalang kerana ditugaskan di mengajar di SK Dato Mohd Musa yang terletak di Kota Samarahan.

“Saya senang di sana, sekolah dalam kawasan bandar, jadi mungkin tidak berdepan pengalaman seperti rakan -rakan yang lain,” katanya yang sentiasa merindui hidangan popular Sarawak iaitu Mee Kolok dan Mee Sapi.

Namun demikian, jelas Cikgu Abdul Fattah, dia sangat mengagumi semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh rakan di sana.

“Biarpun sudah hampir 10 tahun meninggalkan Sarawak, hubungan persahabatan dengan kawan – kawan di sana tetap terjalin erat. Setiap kali berhubung, kami boleh berbual sehingga berjam -jam di telefon,” katanya.

Banyak lagi sebenarnya yang boleh ditulis tentang Sarawak sempena hari Malaysia pada hari ini, namun yang pasti penulis perlu menjejakkan kaki terlebih dahulu di sana untuk memahami dan merasai keunikan yang terdapat di sana.

Pengumuman Kerajaan Sarawak semalam bahawa individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan memasuki Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari seperti yang dilaksanakan sebelum ini memungkin penulis melawat Bumi Kenyalang dalam masa terdekat.

Selamat Hari Malaysia ke-58 dari Kuala Lumpur. Malaysia, Tanah Tumpahnya Darah Kita. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan