KUCHING: Pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan musuh yang tidak diundang iaitu COVID-19 sememangnya wajar dihargai
Antara petugas barisan yang sentiasa komited dalam menggembleng tenaga ketika menggalas amanah semasa pandemik ini adalah pasukan bomba dan penyelamat.
Menurut Ketua Zon Kuching Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Sarawak) Yusri Basri, pandemik ini telah menjadikan tugas yang mereka galas menjadi semakin sukar apabila terpaksa berinteraksi secara langsung dengan mangsa yang diselamatkan dan berisiko terdedah dengan jangkitan COVID-19.
“Semasa pandemik, cabaran pasukan bomba memang kian mencabar terutamanya di lapangan. Hal ini kerana mereka tiada pilihan melainkan terpaksa bersentuhan secara langsung dengan mangsa sewaktu proses menyelamatkan mereka.
Tambahnya lagi, mereka sentiasa komited dan meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan walaupun mereka sentiasa terdedah dengan risiko dijangkiti COVID-19 ketika menjalankan tugas menyelamat.
Sebagai contoh, ketika mereka menyelamatkan mangsa kemalangan tersepit atau kebakaran, mereka tidak dapat mengesan sama ada mangsa tersebut telah dijangkiti COVID-19 atau sebaliknya.
Selain itu, cabaran lain yang mereka hadapi termasuklah keperluan menyelaras Standard Operasi Prosedur (SOP) dalaman Bomba dengan SOP yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(JPBN) Sarawak serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Itu merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak bomba ketika ini,” tambahnya lagi.
Jelasnya lagi, bomba juga turut terlibat dengan proses pengangkutan dan logistik untuk pesakit COVID-19 dengan menghantar mereka yang berada pada kategori 1 dan 2 untuk dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC).
“Cabaran-cabaran tersebut melibatkan keselamatan, kesihatan dan juga SOP semasa sepanjang pandemik ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan penyerahan Food Pack For Superheroes yang diadakan di Balai Bomba Tabuan Jaya.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Jutaan Purnama Sdn Bhd, Mohd Eldin, Food Pack For Superheroes adalah program agihan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di sekitar Kuching.
Sumbangan itu adalah hasil kerjasama dengan Jutaan Purnama, Kelab Rekreasi & Kesihatan Awam Kuching (REKA) dan Magic Sarawak tersebut telah diagihkan kepada beberapa 29 lokasi dan berlangsung selama 14 hari.
Tambahnya lagi, pihaknya berasa sangat berbangga dan dihargai dengan adanya bantuan, sumbangan, sokongan dari pelagai pihak seperti persatuan bukan kerajaan (NGO) ini.