Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

SOP pengudaraan bantu kurang jangkitan dalam premis

ByFebbright James

KUCHING, 15 Sept : Pihak pengurusan bangunan bukan kediaman, pemilik premis perniagaan dan majikan perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti sistem pengudaraan dalam bangunan masing-masing bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan , Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Anselm Su Ting berkata, ini kerana sistem pengudaraan yang baik dalam ruangan bangunan dapat mengekang penularan virus berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan kajian, virus merebak melalui kaedah aerosol iaitu titisan air liur mikroskopik yang tidak dapat dilihat yang dibawa oleh pesakit COVID-19.

” Bagi ruangan tertutup dengan sistem penghawa dingin berpusat, pihak pengurusan bangunan wajar memeriksa penyaman udara dan mechanical ventilation (ACMV), sentiasa menyimpan rekod penyelenggaraan serta perlu memastikan berlaku pengudaraan keluar udara keluar sekurang-kurang bagi tempoh dua jam dalam sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan pada sesi taklimat berkaitan SOP sistem pengudaraan untuk bangunan bukan kediaman menerusi aplikasi Zoom bersama wakil dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pengusaha hotel dan restoran serta agensi lain berkaitan.

Mengulas lanjut, Anselm berkata, bangunan tertutup atau ruang dengan tingkap yang dapat dibuka serta tidak mempunyai sistem penyaman udara perlu melantik penyelia untuk memantau pelaksanaan SOP.

” Sehubungan itu, antara pilihan yang baik untuk mengekalkan udara segar ialah melalui penggunaan kipas serta pemasangan kipas ekzos pada dinding yang bertentangan,” katanya.

Katanya, bangunan atau ruang dengan menggunakan konsep bukaan pintu masuk depan dan belakang yang luas, pemilik premis perlu memastikan pengudaraan semula jadi berfungsi dan mengoperasikan kipas siling.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan supaya memberi penekanan pada bahagian dapur, tandas dan bilik mandi di pusat beli belah.

” Setiap premis atau majikan perlu melantik mereka yang berkelayakan untuk untuk menjalankan tanggungjawab memeriksa penghawa dingin dan ACMV tersebut sebelum premis berkenaan mula beroperasi,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengeluarkan SOP berkaitan sistem pengudaraan untuk bangunan bukan kediaman seperti permis perniagaan bagi pencairan udara yang optimum, pertukaran udara dan penapisan udara di semua bangunan bukan kediaman di Sarawak.

Sementara itu, ketika menjawab soalan berkaitan tahap keberkesanan penyembur pembasmi kuman, Anselm memaklumkan setakat ini tiada bukti kajian yang menunjukkan keberkesanannya bagi mencegah penularan wabak COVID-19 pada ruangan.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng memaklumkan aktiviti dine-in masih tidak dibenarkan berikutan kes masih tinggi walaupun terdapat premis telah mematuhi SOP pengudaraan yang ditetapkan.

Tambahnya lagi, pihaknya dengan sedaya upaya untuk menambahbaik SOP dari semasa ke semasa.

Untuk SOP penuh sila layari https://sarawakdisastermc.com/wp-content/uploads/2021/08/SOP-ON-VENTILATION-IMPROVEMENT-DURING-COVID-19-PANDEMIC-Finale-24.08.2021-1.pdf -TVS

Tags: #ib

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan