Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Petugas kesihatan buta warna ketika berkhidmat – Dr. Annuar Rapaee

BySteward Dawi

KUCHING , 15 Sept : Kerjaya sebagai doktor atau petugas kesihatan sememangnya mempunyai peranan yang cukup penting kepada masyarakat terutamanya ketika situasi pandemik COVID-19 yang masih berlarutan.

Kehadiran virus tidak diundang ini menyebabkan penduduk di seluruh dunia menjadikan doktor dan petugas kesihatan sebagai ‘perisai’ dalam melawan penularan jangkitan.

Berkongsi pengalaman sebagai bekas pegawai perubatan, Menteri Muda, Kesihatan Awam dan Perumahan negeri, Dr. Annuar Rapaee berkata, antara ciri penting yang harus dijunjung oleh petugas kesihatan ialah memiliki sifat buta warna ketika memberi rawatan kepada pesakit.

” Bidang perubatan memberi ruang kepada doktor untuk mendekati komuniti. Ketika masih bergelar pengamal perubatan sebelum memasuki dunia politik, pesakit yang saya rawat terdiri daripada berbilang kaum seperti Cina, Melayu, Iban atau Bidayuh, semuanya berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada saya , tidak kiralah apa status ekonomi mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual dalam “Bicara Tokoh Bersama Dr. Annuar Rapaee, Komuniti dan Doktor” sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 20201 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam.

Sebelum bergelar ahli politik, beliau merupakan doktor pakar bidang kardiologi lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta menerima Ijazah Perubatan daripada Universiti Malaya selain pernah melanjutkan pengajian di St Jame’s University Hospital, United Kingdom.

Sepanjang bergelar pakar perubatan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, pernah bertugas di Hospital Serdang dan beberapa hospital di Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seseorang doktor juga tidak boleh membina dinding penghalang ketika berjumpa dengan masyarakat kerana sumpah jawatan mereka ialah bekerja untuk komuniti tanpa mengambil kira perbezaan latar belakang, kaum dan agama.

Sementara itu, beliau menambah, petugas bidang kesihatan juga sering mendapat kepercayaan masyarakat yang berasa selesa untuk tampil berkongsi masalah kesihatan yang dihadapi.

” Oleh itu, amanah ini perlu dijaga sebaiknya dan bukannya menggunakan untuk kepentingan diri,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Annuar berkata, golongan doktor harus menggunakan pengaruh yang dimiliki mereka untuk menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

” Sebagai contoh apabila doktor menasihatkan orang awam supaya menggunakan pelitup muka dan hidup berganda, nasihat berkenaan lazimnya akan diikuti kerana kredibiliti dan profesion mereka yang pakar berkaitan isu kesihatan dan pencegahan penyakit,” katanya.

Namun demikian, beliau yang juga mengingatkan golongan doktor tentang cabaran yang perlu ditempuhi kerana dalam situasi tertentu, ilmu dan kepakaran yang dimiliki tidak berjaya mengubah mentaliti masyarakat. -TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan